KOMPUTER DAN ISU-ISU BERKAITAN
(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)
Dunia masa kini telah didorong oleh perubahan-perubahan yang
digerakkan oleh teknologi dan ledakan maklumat. Perkembangan tersebut telah
mengubah dunia menjadi sebuah tempat tanpa sempadan atau kampung sejagat iaitu
perkembangan yang berlaku di tempat lain akan segera memberi impak kepada kita
semua (Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin,
1993). Menurut Darr dan
Goodman (dalam Irwin,
2000), penciptaan dan
perkembangan komputer akan memberi
kesan perubahan sekurang-kurangnya
kepada tiga perkara iaitu tingkah laku interpersonal, komunikasi, dan
pendidikan.
Malaysia juga sedang menuju ke arah pembangunan dan
perubahan yang pesat. Hala tuju negara untuk menjadi negara maju menjelang
tahun 2020 memerlukan tenaga manusia
yang terlatih dalam pelbagai bidang. Dalam bidang teknologi umpamanya, keperluan akan berteraskan kepada
kuasa suria, angin, nuklear, bioteknologi, komputer, elektronik, robotik dan
komunikasi yang tidak terhad. Walaupun perkembangan tersebut seharusnya
menyaksikan penggunaan komputer dalam pendidikan semakin menyerlah, namun pelaksanaan
program berasaskan teknologi maklumat
khususnya di sekolah- sekolah didakwa lembap dan dianggap
masih jauh ketinggalan.
Komputer berasal
dari bahasa Latin computare iaitu yang
membawa makna menghitung. Komputer pada dasarnya ialah sebuah mesin yang dapat menyimpan dan
mengolah atau memproses data. Komputer tidak boleh berfikir atau membuat
taakulan tetapi boleh melaksanakan
tugasan berdasarkan arahan
yang diberikan kepadanya (Fuori dan Gioia, 1993).
Komputer menurut Ahmad, Corbett, Roger, dan Sussex (dalam Tuzcuoglu, 2001) ialah alat
yang tidak mampu bertindak sendiri.
Tindak balas komputer bergantung kepada arahan yang diberikan oleh
manusia sebagai pengguna.
Menurut
Norhaizat Mat Baki dan
Irene Pang (2002),
komputer ialah mesin
berteknologi tinggi yang
digunakan untuk menyimpan
dan memproses maklumat. Noresah Baharom,
et al. (1994)
mendefinisikan komputer sebagai
alat atau sistem elektronik yang dapat memudahkan
penyimpanan maklumat yang banyak dan kompleks serta membolehkan maklumat tersebut
dianalisis dan dicapai dengan
cepat apabila diperlukan.
Sementara komputer menurut Othman Shariff
(2001) ialah peralatan yang
melakukan tiga perkara iaitu
menerima arahan input, memproses
maklumat, dan mengeluarkan
output.
Shelly, Cashman, Gunter,
dan Gunter (2002)
pula mendefinisikan komputer sebagai sebuah mesin eletronik yang
beroperasi di bawah kawalan arahan-arahan yang disimpan di dalam ingatannya.
Mesin tersebut boleh menerima data, memanipulasi data mengikut
peraturan-peraturan yang tertentu, menghasilkan keputusan, dan menyimpan
keputusan tersebut untuk kegunaan pada
masa yang akan datang. Definisi
tersebut telah mengaitkan komputer sebagai alat eletronik untuk input,
proses, output, dan storan data.
Ken Neo dan Neo
Mai (2000) pula telah mengaitkan definisi
komputer dengan kerja-kerja yang
dilakukan oleh manusia. Menurut
mereka, komputer ialah
mesin eletronik yang kompleks yang
memproses data. Komputer
membolehkan pengguna melakukan kerja-kerja yang terlalu membebankan, membosankan, dan
kompleks untuk ditangani. Komputer
membantu melakukan tugas-tugas yang
kompleks dengan pantas dan cepat.
Menurut Tuzcuoglu
(2001) komputer ialah
alat interaktif dan
telah menjadi sebahagian
kehidupan harian manusia. Komputer
digunakan di kebanyakan pejabat,
bank, atau kilang
untuk pelbagai tujuan
seperti penyimpanan rekod,
pengurusan
pejabat,
perbankan, pengawalan trafik,
pemprosesan perkataan, dan
permainan. Peningkatan
mendadak penggunaan teknologi
komputer telah mengubah
kehidupan jutaan manusia serta organisasi sosial di mana mereka bekerja.
Komputer juga dikaitkan teknologi maklumat. Menurut
Martin (1994), teknologi maklumat terdiri
dari semua bentuk teknologi yang
terlibat dalam pengumpulan, manipulasi, komunikasi, persembahan, dan
menggunakan data termasuk
data yang telah ditransformasikan kepada
maklumat. Teknologi maklumat juga dikatakan sebagai satu alat
yang dapat membantu
manusia untuk bekerja
dengan maklumat dan melakukan tugasan yang
berkaitan dengan memproses maklumat
(Haag dan Keen,
1996).
Sean (dalam Mcleod,
1998) pula menyatakan
bahawa teknologi maklumat mengandungi tiga komponen yang
tidak boleh terpisah iaitu komputer,
komunikasi, dan tahu-guna. Gabungan tersebut mencipta peluang kepada
manusia dan organisasi untuk menjadi lebih produktif, efektif, dan berjaya.
Komputer dan rangkaian komputer tidak
berguna jika tidak tahu digunakan.
Mengetahui bila hendak menggunakan komputer sama penting
dengan mengetahui bagaimana
hendak menggunakannya. Juga
tidak kurang penting ialah kebolehan berkomunikasi melalui komputer iaitu menghubungkan manusia melalui teknologi
maklumat.
Huraian tersebut
memperlihatkan pula perluasan istilah
teknologi maklumat kepada kepada
teknologi maklumat dan
komunikasi (ICT). Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia [KPM]
(2001), ICT ialah sistem
yang membolehkan pengumpulan,
pengurusan, manipulasi, perolehan dan
komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk. Dalam konteks
pendidikan, ICT bermaksud
penggunaan teknologi maklumat
dan komunikasi yang menyokong
proses teras dalam
pengurusan dan pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran,
serta pendidikan sepanjang hayat.
Fenomena kebimbangan terhadap komputer dan penggunaan komputer dikenali sebagai technophobia
yang bermaksud keengganan
menerap teknologi, khususnya komputer (Daniel,
1999). Rosen dan
Weil (dalam Orr,
2002) telah mengklasifikasi technophobia kepada tiga tahap iaitu
(a) anxious technophobe iaitu memperlihatkan tanda-tanda klasik reaksi
kebimbangan apabila menggunakan
teknologi seperti tapak tangan berpeluh, degupan jantung kencang, atau sakit kepala (b) cognitive technophobe iaitu secara luaran
kelihatan bersahaja dan relaks tetapi dalaman penuh dengan sikap negatif, dan
(c) uncomfortable user
iaitu memperlihatkan sedikit keresahan
atau memberi pernyataan negatif yang sedikit. Secara
amnya, kebimbangan tahap ketiga tidak memerlukan kauseling personal.
*Esei ini merupakan sebahagian daripada tesis MSc.
(Education Management)
penulis di Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah
Darul Aman.