Ahad, 30 Mac 2014

ISU-ISU SEMASA TENTANG PENGGUNAAN KOMPUTER

KOMPUTER DAN ISU-ISU BERKAITAN
(Oleh: Ahmad Fauzi bin Mohamed)


Dunia masa kini telah didorong oleh perubahan-perubahan yang digerakkan oleh teknologi dan ledakan maklumat. Perkembangan tersebut telah mengubah dunia menjadi sebuah tempat tanpa sempadan atau kampung sejagat iaitu perkembangan yang berlaku di tempat lain akan segera memberi impak kepada kita semua (Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin,  1993).   Menurut Darr  dan  Goodman  (dalam   Irwin,  2000),  penciptaan dan perkembangan  komputer  akan memberi  kesan perubahan sekurang-kurangnya  kepada tiga perkara iaitu tingkah laku interpersonal, komunikasi, dan pendidikan.

Malaysia juga sedang menuju ke arah pembangunan dan perubahan yang pesat. Hala tuju negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 memerlukan tenaga manusia  yang terlatih  dalam  pelbagai bidang. Dalam  bidang teknologi  umpamanya, keperluan akan berteraskan kepada kuasa suria, angin, nuklear, bioteknologi, komputer, elektronik, robotik dan komunikasi yang tidak terhad. Walaupun perkembangan tersebut seharusnya menyaksikan penggunaan komputer dalam pendidikan semakin menyerlah, namun  pelaksanaan  program  berasaskan teknologi  maklumat  khususnya  di  sekolah- sekolah didakwa lembap dan dianggap masih jauh ketinggalan.

Komputer berasal  dari  bahasa Latin  computare iaitu  yang  membawa makna menghitung. Komputer pada dasarnya  ialah sebuah mesin yang dapat menyimpan dan mengolah atau memproses  data.   Komputer tidak boleh berfikir atau membuat taakulan tetapi  boleh melaksanakan tugasan  berdasarkan  arahan  yang  diberikan  kepadanya (Fuori dan  Gioia, 1993).  Komputer menurut Ahmad, Corbett, Roger, dan  Sussex (dalam Tuzcuoglu, 2001)  ialah alat  yang tidak mampu bertindak sendiri.  Tindak balas komputer bergantung kepada arahan yang diberikan oleh manusia sebagai pengguna.

Menurut  Norhaizat  Mat  Baki dan  Irene  Pang  (2002),  komputer  ialah mesin berteknologi   tinggi  yang  digunakan  untuk  menyimpan  dan  memproses   maklumat. Noresah   Baharom,   et  al.  (1994)   mendefinisikan  komputer   sebagai  alat   atau  sistem elektronik yang dapat memudahkan penyimpanan maklumat yang banyak dan kompleks serta   membolehkan maklumat  tersebut  dianalisis dan  dicapai  dengan  cepat  apabila diperlukan. Sementara  komputer  menurut Othman  Shariff  (2001)  ialah peralatan yang melakukan tiga  perkara  iaitu  menerima arahan  input,   memproses   maklumat,  dan mengeluarkan output.

Shelly,  Cashman,   Gunter,   dan  Gunter   (2002)  pula  mendefinisikan  komputer sebagai sebuah mesin eletronik yang beroperasi di bawah kawalan arahan-arahan yang disimpan di dalam ingatannya. Mesin tersebut boleh menerima data, memanipulasi data mengikut peraturan-peraturan yang tertentu, menghasilkan keputusan, dan menyimpan keputusan tersebut untuk kegunaan pada  masa yang akan  datang.  Definisi  tersebut telah mengaitkan komputer sebagai alat eletronik untuk input, proses, output, dan storan data.

Ken Neo dan  Neo Mai  (2000) pula telah mengaitkan definisi komputer  dengan kerja-kerja   yang  dilakukan  oleh manusia.  Menurut  mereka,   komputer   ialah  mesin eletronik   yang  kompleks yang  memproses   data.   Komputer  membolehkan pengguna melakukan kerja-kerja  yang terlalu membebankan, membosankan, dan kompleks untuk ditangani.  Komputer membantu melakukan tugas-tugas  yang kompleks dengan pantas dan cepat.

Menurut  Tuzcuoglu (2001)  komputer  ialah  alat  interaktif  dan  telah  menjadi sebahagian kehidupan harian  manusia. Komputer digunakan  di kebanyakan pejabat, bank,  atau   kilang  untuk  pelbagai  tujuan  seperti   penyimpanan  rekod,   pengurusan
pejabat,   perbankan,   pengawalan   trafik,   pemprosesan   perkataan,   dan  permainan. Peningkatan  mendadak  penggunaan  teknologi  komputer  telah  mengubah  kehidupan jutaan manusia serta organisasi sosial di mana mereka bekerja.

Komputer juga dikaitkan teknologi maklumat. Menurut Martin  (1994), teknologi maklumat  terdiri  dari  semua bentuk teknologi   yang  terlibat  dalam  pengumpulan, manipulasi,  komunikasi, persembahan,  dan  menggunakan data  termasuk data  yang telah ditransformasikan kepada maklumat. Teknologi maklumat juga dikatakan sebagai satu   alat   yang  dapat  membantu  manusia  untuk  bekerja   dengan  maklumat  dan melakukan tugasan  yang  berkaitan  dengan memproses   maklumat  (Haag   dan Keen,
1996).

Sean   (dalam   Mcleod,  1998)    pula  menyatakan   bahawa  teknologi   maklumat mengandungi tiga komponen yang tidak boleh terpisah iaitu komputer,  komunikasi, dan tahu-guna. Gabungan tersebut mencipta peluang kepada manusia dan organisasi untuk menjadi lebih produktif, efektif, dan berjaya. Komputer dan rangkaian  komputer tidak berguna jika tidak tahu  digunakan. Mengetahui bila hendak menggunakan komputer sama  penting  dengan  mengetahui  bagaimana  hendak  menggunakannya.  Juga  tidak kurang penting ialah kebolehan berkomunikasi  melalui komputer  iaitu menghubungkan manusia melalui teknologi maklumat.

Huraian  tersebut memperlihatkan pula perluasan  istilah teknologi  maklumat kepada  kepada  teknologi   maklumat  dan  komunikasi (ICT).   Menurut  Kementerian Pelajaran Malaysia [KPM] (2001),  ICT  ialah sistem  yang  membolehkan pengumpulan, pengurusan, manipulasi, perolehan  dan komunikasi maklumat dalam pelbagai bentuk. Dalam  konteks   pendidikan,  ICT   bermaksud   penggunaan  teknologi   maklumat  dan komunikasi   yang   menyokong  proses    teras    dalam  pengurusan  dan   pentadbiran, pengajaran dan pembelajaran, serta pendidikan sepanjang hayat.

Fenomena kebimbangan terhadap komputer  dan penggunaan komputer  dikenali sebagai  technophobia   yang  bermaksud   keengganan  menerap  teknologi,   khususnya komputer   (Daniel,   1999).   Rosen  dan   Weil  (dalam   Orr,   2002)  telah  mengklasifikasi technophobia  kepada tiga tahap  iaitu  (a) anxious  technophobe  iaitu memperlihatkan tanda-tanda  klasik reaksi  kebimbangan apabila  menggunakan teknologi  seperti  tapak tangan berpeluh,  degupan jantung kencang, atau  sakit kepala (b)  cognitive technophobe iaitu secara luaran kelihatan bersahaja dan relaks tetapi dalaman penuh dengan sikap negatif,  dan  (c)   uncomfortable   user   iaitu  memperlihatkan sedikit   keresahan   atau memberi  pernyataan  negatif yang sedikit.  Secara  amnya,  kebimbangan tahap  ketiga tidak memerlukan kauseling personal.

*Esei ini merupakan sebahagian daripada tesis MSc. (Education Management)

penulis di Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah Darul Aman.

0 ulasan:

Catat Ulasan