7.1 Peringkat
Perkembangan Menulis
Tulisan dan bacaan mempunyai hubungan yang rapat dan saling
melengkapi. Seseorang akan membaca hasil
tulisan seseorang dan hasil tulisan seseorang pula adalah untuk dibaca oleh
orang lain. Begitu juga apabila seseorang
menulis, dia juga sedang membaca apa yang ditulisnya. Tulisan adalah lambang-lambang bunyi yang
diwakili oleh perkataan-perkataan yang ditulis.
Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula,
maka barulah wujudnya bahasa melalui tulisan itu. Melalui tulisan manusia
melahirkan perasaan, fikiran, dan juga kemahuan mereka. Melalui tulisan juga manusia dapat menikmati
keindahan bahasa melalui penulisan yang indah dan penulisan yang banyak memberi
maklumat.
7.1.1 Jenis
Kemahiran Menulis
Secara umumnya terdapat dua jenis kemahiran menulis yang
diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pertamanya adalah kemahiran menulis secara
mekanis dan keduanya kemahiran menulis mentalis.
Kemahiran menulis secara mekanis menekankan kepada aspek
tulisan yang betul, kemas, cantik, dan mudah dibaca. Kemahiran ini melibatkan koordinasi
otot-otot tangan dan jari dengan aspek visual dalam menulis perkataan-perkataan. Kemahiran menulis secara mekanis diberi
tumpuan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak iaitu di peringkat pra
sekolah dan tahap satu sekolah rendah (Tahun 1 hingga tahun 3). Kanak-kanak berkeperluan khas bermasalah pembelajaran (PKBP) menunjukkan
penguasaan kemahiran menulis secara mekanis yang sangat lemah. Mereka didapati sukar menulis huruf –huruf dengan betul dan juga cara
menulis huruf yang salah.
Kemahiran menulis secara mentalis adalah kemahiran menulis
untuk pelahiran idea, perasaan, memberi maklumat, bercerita, dan sebagainya. Kemahiran ini melibatkan proses kognitif dan
perlu dipupuk melalui latihan-latihan yang berterusan sehingga kemahiran
tersebut dikuasai dengan mantap.
Kemahiran menulis secara mentalis ini hanya diperkenalkan oleh guru kepada murid-muridnya setelah
mereka menguasai kemahiran menulis secara mekanis. Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah
terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penulisan secara mentalis diajar melalui
aktiviti penulisan berkenaan dengan sesuatu aspek seperti menyatakan kehendak, menyatakan perasaan,
menyatakan pendapat, bercerita, memberi maklumat seperti menulis berita, dan
menulis puisi.
7.1.2 Peringkat
Perkembangan Pengajaran Menulis
Kemahiran menulis perlu dikuasai oleh kanak-kanak secara berperingkat-peringkat
mengikut kesediaan dan keupayaan
mereka. Sebelum mereka mula diajar
menulis, ibu bapa dan guru perlu memastikan yang mereka sudah mempunyai kesediaan
menulis. Kanak-kanak perlu bersedia dari
segi kemahiran motor halus iaitu kemahiran mengawal otot-otot jari dan juga
pergerakan jari. Oleh itu kanak-kanak
perlu didedahkan dengan pengalaman-pengalaman menggunakan jari seperti
menggenggam, meramas, melorek, mencubit, menggentel, memegang, dan
sebagainya. Kesemua kemahiran ini diajar
secara tidak langsung menggunakan berbagai alat dan permainan. Kanak-kanak juga perlu bersedia dari segi
keupayaan pengamatan visual melalui latihan
dan permainan
tertentu. Selain itu kanak-kanak juga
perlu menguasai kemahiran tatabahasa asas seperti boleh menggunakan pelbagai
jenis pola dan struktur ayat mudah.
Pengajaran kemahiran menulis di sekolah rendah dapatlah
dibahagikan kepada tiga peringkat (Kamarudin Hj. Husin, 1988):
i.
peringkat pra menulis
ii.
peringkat mendirikan asas
(peringkat mekanis)
iii.
peringkat untuk pelahiran (mentalis)
Peringkat Pra menulis
Kanak-kanak sudah boleh diajar kemahiran pra menulis
sekiranya ia sudah mempunyai kesediaan menulis seperti pergerakan otot-otot
tangan dan jari jemari serta sudah dapat membuat pengamatan visual iaitu sudah
boleh membezakan dan mengecam benda-benda.
Pada peringkat ini otot-otot
tangan dan jari dilatih supaya lebih kemas dan teratur pergerakannya dan juga
dapat memegang pensel dengan betul dan kemas.
Selain itu latihan-latihan koordinasi mata dan tangan dilakukan dengan
banyak supaya kanak-kanak dapat meniru bentuk-bentuk yang dilihat.
Pada peringkat pra menulis, aktiviti-aktiviti yang dilakukan
adalah untuk melatih pergerakan tangan, koordinasi mata dan tangan,
latihan-latihan pergerakan mata melalui lakaran-lakaran terkawal dan lakaran
bebas yang dilakukan oleh kanak-kanak.
Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffmann (1991) kanak-kanak sepatutnya
sudah boleh melakukan perkara-perkara berikut sebelum mereka diajar menulis.
i.
Melakukan pergerakan tangan atas ke bawah, kiri ke kanan, dan depan ke
belakang.
ii. Menekap
atau menyurih bentuk-bentuk geometri dan garisan putus.
iii.
Menyambungkan titik-titik di atas kertas.
iv. Melukis
garis lintang dari kiri ke kanan, melukis garis tegak dari atas ke bawah, dan bawah
ke atas.
v. Melukis
bulatan arah lawan jam, garis melengkung, dan bulatan arah jarum jam.
vi. Melukis
garis condong.
vii. Menyalin
corak mudah dan bentuk-bentuk, dan
viii. Mengenal
huruf-huruf dan dapat membezakan keserupaan dan perbezaan bentuk huruf-huruf tersebut.
0 ulasan:
Catat Ulasan